Oleh : Juwei itu Hazwan
TAWAN LIMA GUNUNG
Setelah melakukan perancangan teliti hampir tiga minggu, Kelab rekreasi dari Kolej Tun Hussien Onn yang terletak di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Merbauan Adventure & Recreation Club (MARC) dengan kerjasama dengan Kelab Rekreasi & Sukan Ekstrim (KEREX) dari Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) yakin untuk menjalankan ekspedisi mendaki yang mengambil masa 10 hari. Ekspedisi yang penuh dengan cabaran itu dinamakan Chamah-Ulu Sepat-Gerah-Bieh-Bilah Full Circle 2011 (CUSGBB Full Circle 2011) yang mempunyai jarak perjalanan lebih 70km.
Golongan pendaki muda ini telah memilih untuk menawan lima puncak gunung yang terletak di sekitar Kelantan dan Perak iaitu Gunung Chamah, Gunung Ulu Sepat, Gunung Gerah, Gunung Bieh dan juga Gunung Bilah pada 29 Januari hingga 7 Februari yang lepas. Di samping itu, mereka membawa 26 buah plat kempen kebersihan untuk digantung di kem dan puncak sepanjang perjalanan.
Ekspedisi serampang dua mata ini disertai seramai 22 orang peserta berserta dua orag penunjuk arah termasuk 10 orang perempuan. Mereka terdiri daripada ketua ekspedisi, Shukree Bin Saidi, Muhammad Zakwan B. Mohamed Yussof, Shamsuddin Bin Chik Zi, Mohamad Hafizan B Baharum, Nabila Nur bt. Zakariah, Noor Zalina Bt Mohd Sharifuddin, Suryani Bt Parman, Sharifah Nur Asyiqin Binti Syed Omar, Nurul Amirah Binti Mohd Razali, Azizul Bin Azman, Siti Norhikmah Binti Hamsi, Muhammad Firdaus B.Mahadzir, Norazuin Binti Abu, Abdul Rahman B.Mohamad Safuan, Nurul Noraziemah Bt Mohd Fauzi, Mohamad Hasif B. Osman, Aminuddin B Jameran, Mohd Hazwan Jaludin, Azman Bin Arbangi, Siti Nadiah Bt Mohd Abdah, Siti A’idah Bt Mohd Asma’on dan juga tiga orang penunjuk arah iaitu, Mohd Izuddin Bin Md.Ithnan, Zulkifli M.Sanuddin dan Muhammad Faqrul Reduan Bin Abdul Majid.
Sebelum memulakan ekspedisi, peserta pendakian telah merancang pelbagai persediaan dengan melakukan latihan fizikal seperti berjoging dan mendaki di sekitar kawasan kampus UTM, Johor. Penerangan awal seperti bentuk muka bumi, cuaca, sasaran masa telah disampaikan kepada peserta agar lebih bersedia sebelum bermulamya ekspedisi.
Bertolak dari UTM, perjalanan mengambil masa selama empat jam dengan menaiki bas universiti ke Stesen keretapi Gemas. Perjalanan ke Stesen keretapi Gua Musang dengan menggunakan perkhidmatan Keretapi Senandung Timur pula mengambil masa selama enam jam. Masa perjalanan yang cukup panjang merupakan cabaran pertama yang dihadapi oleh peserta ekspedisi.
Setelah bersarapan berhampiran stesen keretapi, tepat jam 7.15pagi para peserta telah menaiki dua kenderaan 4WD menuju ke lokasi pendakian. Langkah keselamatan telah diambil oleh para peserta dengan melaporkan diri di Balai Polis Gua Musang sebelum memasuki ke laluan trek balak yang panjang dan mencabar kesabaran para peserta. Perjalanan selama 12 jam pada hari pertama termasuk 6jam di atas kenderaan 4WD itu berhenti bermalam di Kem Tengah setelah melalui Kem Pakma.
Seawal jam 8.30 pagi para peserta telah memulakan perjalanan pada hari kedua menuju ke puncak Gunung Chamah. Setelah enam jam perjalanan para pendaki berjaya menawan puncak yang kelima tertinggi di semenanjung Malaysia ini. Peluang mengambil gambar dan memasang plat di puncak para peserta menuju kembali ke Kem Tengah untuk bermalam pada hari kedua ini.
Pada keesokannya, para peserta telah melalui pelbagai halangan seperti merentasi Sungai Rekom yang berarus deras, melalui jalan buluh meniti titian balak dan cuaca yang tidak menentu. Pergerakan yang sedikit perlahan telah memakan masa selama 10jam dan peserta bermalam di Kem Maggi setelah melalui beberapa kem seperti Kem Sungai Rekom dan Kem Sungai Peres.
Sasaran awal pada hari keempat menuju ke puncak Gunung Ulu Sepat terpaksa ditangguhkan akibat terdapat peserta yang tercedera semasa jalan curam menurun ke Kem Sungai Lepir. Para Peserta bermalam di situ setelah lebih 11jam mendaki trek yang pacak dan menurun trek yang curam dengan suhu sekitar yang sejuk.
Puncak Gunung Ulu Sepat merupakan sasaran para pendaki pada hari kelima. Setelah hampir tiga jam mendaki, para peserta berhenti untuk makan tengahari di Kem Junction. Di sini, para peserta meletakkan beg dan bergerak menuju ke puncak melalui trek yang paling lecah di Semenanjung Malaysia. Para pendaki kelihatan gembira dan puas setelah tiba di puncak dan peluang untuk bergambar tidak dapat dilepaskan sebagai kenang-kenangan. Setelah puas bergambar para pendaki menuju kembali ke Kem Junction untuk mengambil beg dan menuju ke Kem Sungai Lenweng dengan trek yang menurun sedikit curam. Perjalanan malam yang perlahan telah mengambil masa hampir lima jam membuatkan para peserta telah kelihatan penat dan mereka mengambil keputusan untuk bermalam di Kem Sungai Lenweng.
Pendakian menuju kepuncak Gunung Gerah diteruskan pada hari keenam. Setelah berhenti rehat di puncak Bukit Penat, hujan mulai turun membasahi hutan. Trek menuruni puncak Bukit Penat itu dipenuhi laluan buluh yang licin dan curam tidak membuatkan para peserta patah semangat. Mereka melalui kampung orang asli dan membeli ubi kayu sebagai bekalan makanan tambahan sebelum bermalam di Kem Kunyit setelah melalui perjalanan hampir sembilan jam.
Perjalanan hari ketujuh melalu trek yang yang panjang dan mepunyai kecerunan yang tinggi menuju ke puncak Gunung Gerah. Setelah melalu kem Perodua, para peserta berhenti rehat di Kem Sarsi setelah 5jam perjalanan. Beg para pendaki diletakkan di simpang Gerah-BIlah dan hanya kelengkapan asas untuk bermalam di bawa menuju ke puncak. Tepat jam 8.20 malam para pendaki tiba di puncak Gunung Gerah dan bermalam disini dengan suhu yang agak sejuk dan berangin kuat.
Keindahan pagi di puncak Gunung Gerah telah membuatkan para pendaki lebih bersemangat dan ceria. Di puncak ini mereka berpeluang menyaksikan keindahan matahari terbit dengan suhu 11 darjah celsius telah direkod pada awal pagi. Kelihatan juga dua buah jet pejuang melakukan latihan penerbangan di ruang angkasa membuatkan pengalaman di puncak ini sangat unik dan bermakna.
Ekspedisi diteruskan dengan para peserta menuju ke puncak Gunung Bieh seawal jam 7.30pagi dan tiba setelah melalu trek yang sedikit mudah. Setelah mengambil gambar dan memasang plat di puncak yang berlumut ini, para peserta kembali menuju ke puncak Gunung Gerah. Gambar kenangan di puncak ini diambil terlebih dahulu sebelum peserta menuju ke simpang dan mengemas kembali beg masing-masing. Pendakian diteruskan menuju ke Gunung BIlah dan tiba setelah 1jam perjalanan. Perjalanan malam yang mencabar selama 3jam telah membuatkan penunjuk arah membuat keputusan untuk bermalam di sebuah kawasan baru yang diberi nama Kem Merbau.
Peserta kelihatan bersemangat pada hari kesembilan ini dengan sasaran untuk terus tiba di Kampung Dakoh. Perjalanan yang panjang dan pelbagai cabaran seperti merentasi sungai, laluan buluh yang sempit dan tanah runtuh telah membuatkan pergerakan peserta sedikit perlahan kerana terpaksa melalui banyak laluan alternatif. Semangat yang berkobar-kobar untuk menamatkan ekspedisi dapat dilihat dengan para pendaki terus berjalan sehingga jam 12 tengah malam.
Setelah berehat lebih dua jam, perjalanan diteruskan menuju ke Kampung Dakoh. Perjalanan pada malam yang terakhir ini diteruskan dengan merentasi lebih dua sungai dengan trek yang agak mudah. Tepat jam 4.30 pagi para peserta berjaya tiba di Kampung Dakoh yang menandakan ekspedisi ini berjaya ditamatkan. Para peserta kemudiannya menaiki kenderaan 4WD menuju kembali ke Kuala Betis dan bergerak ke stesen keretapi Gua Musang untuk pulang ke universiti.
Kepuasan para pendaki tergambar dengan wajah ceria mereka setelah berjaya menawan lima puncak gunung dan melalui pelbagai jenis trek, cuaca dan halangan selama 10 hari. Sebagai golongan pendaki awal yang membuat perjalanan melalui Pos Simpoh dan keluar di Kampung Dakoh membuatkan mereka bersyukur dan bangga di samping berjaya memasang plat-plat kempen kebersihan di sepanjang laluan ekspedisi.
Figure 1 Antara gambar plat yang dipasang sepanjang ekspedisi
Figure 2 Wajah semangat sebelum bertolak menaiki bas universiti
Figure 3 Peserta di Puncak Gunung Chamah dalam keaadan cuaca hujan renyai
Figure 4 Wajah kepuasan dan kegembiraan pendaki di puncak Gunung Ulu Sepat
Figure 5 Sebahagian peserta di puncak Gunung Bieh yang dipenuhi lumut yang cantik
Figure 6 Sebahagian peserta di puncak Gunung Bilah
Figure 7 Bergambar kenangang di Stesen keretapi gemas setelah berjaya menamatkan ekspedisi 10 hari
Figure 8 Beberapa peserta merentasi Sungai Rekom
Apa kata pendaki
Kepuasan dan pengalaman merupakan aset terbaik yang diperolehi di dalam ekspedisi kali ini. Keadaan cuaca tidak menentu, trek berselut, pokok balak tumbang, pepohon buluh yang menghalang laluan, air sungai deras yang direntasi, berjalan lewat malam, kesejukan di puncak Gunung Gerah, jadual makanan yang tidak menentu menjadikan ekspedisi kali ini sangat mencabar bagi pendaki muda seperti kami.
- Mohamad Hafizan B Baharum
Jika di luar hutan kami mengejar kejayaan sendiri, tapi di sini (ekspedisi) kami kejar kejayaan bersama. kenangan dan pengalaman yang cukup lengkap. Misi kami adalah murni, untuk meletakkan plat tanda disamping menyampaikan mesej kesedaran alam sekitar. Semoga usaha kami ini dihargai dan biarkan bumi hijau ini terus gah di tempat ia berdiri.
-SITI NADIAH MOHD ABDAH
Semangat kerjasama, kekeluargaan, perkongsian pengalaman dan ilmu yang disemai antara ahli kelab, itulah tunjang yang membuatkan peserta ekspidisi kali ini berjaya dalam mengharungi pendakian selama 10 hari dengan keadaan selamat dan berakhir dengan penuh kepuasan.
-Shamsuddin Chik Zhi
Pendakian kali ini adalah yang paling mencabar pernah saya lalui. Ianya bukan sahaja menguji fizikal anda, tetapi juga ketahanan mental. Banyak yang kami pelajari terutamanya bekerja dan bergerak sebagai satu pasukan. Keindahan ciptaan Tuhan juga membuatkan kami terpesona sepanjang pendakian. mesej dari kami,'save earth,we have nowhere else to go.'
- Aminuddin B Jameran
Kerjasama dan ukhwah yang terjalin di antara peserta dan jurupandu (guides) pada ekspedisi ini telah dapat memudahkan setiap perjalanan yang dirancang dan ekspedisi ini dapat membantu para pendaki menjana badan yang ideal dan jantung yang sihat serta pengalaman dan cabaran yang diperolehi sentiasa menjadi topik perbualan bagi setiap peserta ekspedisi
-Azizul bin Azman
'pengalaman menjadi antara peserta yang tercedera semasa pendakian telah memberikan saya satu pengalaman yang cukup berbeza. keprihatinan, kerjasama, keikhlasan ahli kelab menjadikan trip kali ini sangat bermakna dan merupakan teras utama kejayaan kami, MARC-CUSGBB FULL CIRCLE , selain perlunya tahap mental dan fizikal yang tinggi memandangkan trek pendakian sangat mencabar'
- Siti A’idah Bt Mohd Asma’on