23 February 2011

Sekapur Sireh dari Penasihat Program Run For Your Heart 2010

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan,

  Sebagai permulaan kalam pembuka bicara, marilah sama-sama kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke atas limpah kurnia dan kasih sayang-Nya kerana hanya dengan izin dan rahmat dari-Nya lah kita diberi peluang mengecapi manisnya madu nikmat kejayaan perlaksanaan program Run For Your Heart.

  Sebagai penasihat bagi program yang amat berimpak tinggi ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak pelaksana yang terdiri daripada keluarga Merbau Adventure and Recreation Club, MARC di atas kejayaan menganjurkan program tersebut dengan lancar, terurus dan sistematik dengan kesilapan teknikal dan masalah yang sangat minima. Sesungguhnya bukanlah suatu tugas yang mudah untuk menyatukan keringat dan pendapat serta berusaha keras meredah segala rintangan dan masalah yang melintangi untuk menjadikan impian menganjurkan program yang hanya disulam dalam tempoh kurang lebih 2 bulan menjadi suatu realiti yang indah. Lidi sebatang tak bermakna, diikat segenggam, kuat menjadi penyapu. Saya percaya ukhwah dan semangat kekeluargaan MARC yang terpahat erat di lubuk hati warga pelaksana hasil dari induksi bertubi-tubi yang dilaksanakan secara berterusan melalui program-program teras pendakian gunung sebelum ini merupakan kunci utama terzahirnya ukhwah yang sangat konkrit di sanubari setiap warga pelaksana, di samping izin dan nikmat yang dicurahkan olehNya dengan memberikan cuaca yang baik serta indeks pencemaran udara, IPU yang sihat. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas saya ucapkan.

  Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Sejujurnya, anda berhak dan layak berbangga dengan kejayaan ini kerana tugas melaksanakan program peringkat kelab dengan amat berjaya sehingga berhasil membuahkan program seolah-olah anjuran peringkat universiti bukanlah suatu tugas yang mudah. Pada hemat saya, kejayaan ini adalah berlandaskan niat utama penganjuran program tersebut iaitu atas asas membangunkan kemahiran insaniah dan peribadi setiap pelajar di samping menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan warga kampus dan sekitarnya. Niat yang ikhlas serta mengelakkan perasaan menjalankan program untuk bermegah-megah pasti berjaya membentuk jatidiri mahasiswa dan modal insan yang lebih gemilang, baik dari segi rohani dan jasmani. Saya juga berharap agar platform yang telah diukir sedikit sebanyak dapat membantu organisasi akan datang menganjurkan program tersebut secara tahunan dengan lebih gemilang.

  Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak bagi menjayakan program ini. Saya percaya tanpa bantuan dan sokongan dari pihak anda, adalah amat sukar untuk mereka menganjurkan program tersebut dengan jayanya. Dengan ini, saya sebagai penasihat program ingin mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf di atas sebarang kesilapan yang saya lakukan secara sengaja mahupun tidak sepanjang saya memantau program ini. Sesungguhnya, bekerjasama dengan keluarga MARC merupakan suatu kenangan manis yang akan segar terpahat dalam sejarah kehidupan saya. Terima kasih kerana sudi menerima saya sebagai salah seorang ahli keluarga MARC yang amat saya sayangi seperti keluarga saya sendiri, bak kata pepatah”cubit peha kiri, peha kanan terasa sakitnya”.

  Akhir kata, saya doakan semoga semua warga keluarga MARC sentiasa dalam naungan dan rahmat Allah, diberi kejayaan dalam hidup serta diberi kebahagiaan yang hakiki dan abadi di dunia dan akhirat.. Amin Ya Robbal Alamin.

Wassalam


Mohd Izuddin bin Md Ithnan
Penasihat,
Merbau Adventure and Recreation Club, MARC
Kolej Tun Hussein Onn,
Universiti Teknologi Malaysia

1 feed back(s):

Anonymous said...

we all did the best. tanpa bimbingan dan sokongan en apai dan en azri, x mungkin kita semua berjaya sampai ke tahap ini. terima kasih. :)

wakil dari keluarga yang kerdil tapi seutuh konkrit, Sofia :)

Labels

Abseiling (1) Archery (1) Basic Camping (8) BBQ Nite (4) farewell nyte (3) Hiking (47) Jkm (4) JKM Day (2) kursus (1) Log (24) marc (12) MARC wedding (1) MEGA (3) Merdeka. Hiking (4) Mountain (17) MT Kelab (6) picture (7) Plat (3) post morterm (2) program (11) promo (12) R4YH (4) renungan (2) Review (2) revisit (3) Senamrobik (2) t-shirt (3) tips (7) training (6) transtitiwangsa (1) V3 (1) viking (1) Wall Climbing (2)