25 February 2011

Run For Your Heart 2010: A Review

Oleh: Seatea Juga Adalah Nadiah dan Juwei Itu حزوان


Sempena majlis Malam Anugerah Kolej Tun Hussien Onn  atau lebih dikenali sebagai Merbauan Glory Award (MEGA KTHO) 2010 yang akan diadakan pada hari Sabtu, 26 Februari 2011 akan datang, program Run For Your Heart (R4YH) 2010 telah dicalonkan sebagai program terbaik kolej bagi sesi 2009/2010. MEGA KTHO merupakan malam penghargaan kepada ahli-ahli kolej di atas sumbangan mereka terhadap kecemerlangan KTHO dalam bidang aktiviti, akademik, sukan dan lain-lain pencapaian di pelbagai peringkat.

Program R4YH telah diadakan pada hari Sabtu, 23 Oktober 2010 dengan bertemakan "Rekreasi untuk jantung yang sihat" sempena Hari Jantung Sedunia yang jatuh pada 10 Oktober setiap tahun. Program ini adalah bertujuan memupuk kesederan tentang penjagaan jantung melalui aktivit rekreasi yang mudah iaitu berlari.

Penyertaan yang amat menggalakkan dari mahasiswa dan mahasiswi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dan juga pihak luar telah mengejutkan pihak penganjur agar menjalankan tugas dengan lebih profesional. Keluarga dari kakitangan Majlis Perbandaran Johor Bharu Tengah(MPJBT) dan staf UTM juga telah bersama-sama meluangkan masa untuk turun berlari bersama dengan peserta lain. 
Program larian yang terbuka untuk segenap umur ini juga disertai oleh pelajar-pelajar dari sekolah sekitar Taman Universiti, Skudai, dan Kangkar Pulai. Perlari profesional dari dalam dan luar negara juga tidak melepaskan peluang untuk menyertai program yang disertai lebih 700 orang peserta ini sebagai medan latihan ringan meraka. Kepelbagaian latar belakang peserta dan ragam pelajar-pelajar sekolah telah menjadikan program yang julung-julung kali diadakan di UTM ini penuh dengan memori indah bagi peserta dan juga pihak penganjur.

Berbekalkan sokongan  padu dari Timbalan Naib Canselor bahagian Hal Ehwal Mahasiswa (TNC HEMA), Prof Dr. Mohd Tajuddin Hj Ninggal dan juga Yang DiPertua MPJBT, Haji Md Fuzi Ahmad Shahimi, program ini berjaya berjalan dengan lancar. Penyertaan dan kerjasama daripada kakitangan agensi kerajaan dan bukan kerajaan seperti pameran daripada Institut Jantung Negara (IJN), sesi derma darah oleh Hospital Sultan Ismail (HSI), khidmat nasihat kesihatan daripada Hospital Penawar, dan juga bekalan minuman kecergasan daripada Redbull dan Ribena serta kawalan keselamatan dari Balai Polis cawangan Skudai dan Taman Universiti juga telah membuatkan program ini berjalan dengan jayanya.

Para peserta dilepaskan seawal jam 8.45 pagi dari tempat perlepasan yang dibina berhampiran bangunan F54 selepas bersama-sam melakukan senamrobik dan menuju ke trek yang pendek atas nasihat pegawai polis kerana faktor keselamatan dan cuaca yang kurang mengizinkan. Walaubagaimanapun wajah ceria dan gembira tetap dapat dilihat dari para peserta yang tidak sabar memulakan larian. Beg cenderahati dan sijil telah diberikan kepada para peserta sebaik sahaja mereka tiba di pintu perlepasan. Minuman Redbull dan Ribena yang diberikan percuma menghilangkan penat mereka sebaik pulang semula di tapak program.

Semangat kerjasama dan tidak mudah putus asa oleh 30 orang ahli jawatankuasa penganjur dari Merbau Adventure and Recreation Club (MARC), KTHO adalah kunci utama kelangsungan program ini. Barisan penganjur sentiasa bermesyuarat apabila menghadapi masalah dan menerima nasihat dari golongan yang lebih berpengalaman untuk penambahbaikan sesuatu perkara. Program ini telah memberikan mereka pelbagai pengalaman baru dan juga telah berjaya menyampaikan objektif program kepada para peserta. R4YH 2010 telah melabuhkan tirainya, nantikan kemunculan R4YH 2011 yang lebih menarik, agressif dan bertenaga!

Video sewaktu pelepasan:

R4YH Facebook Page:

23 February 2011

Sekapur Sireh dari Penasihat Program Run For Your Heart 2010

Assalamualaikum dan Salam Perpaduan,

  Sebagai permulaan kalam pembuka bicara, marilah sama-sama kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke atas limpah kurnia dan kasih sayang-Nya kerana hanya dengan izin dan rahmat dari-Nya lah kita diberi peluang mengecapi manisnya madu nikmat kejayaan perlaksanaan program Run For Your Heart.

  Sebagai penasihat bagi program yang amat berimpak tinggi ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak pelaksana yang terdiri daripada keluarga Merbau Adventure and Recreation Club, MARC di atas kejayaan menganjurkan program tersebut dengan lancar, terurus dan sistematik dengan kesilapan teknikal dan masalah yang sangat minima. Sesungguhnya bukanlah suatu tugas yang mudah untuk menyatukan keringat dan pendapat serta berusaha keras meredah segala rintangan dan masalah yang melintangi untuk menjadikan impian menganjurkan program yang hanya disulam dalam tempoh kurang lebih 2 bulan menjadi suatu realiti yang indah. Lidi sebatang tak bermakna, diikat segenggam, kuat menjadi penyapu. Saya percaya ukhwah dan semangat kekeluargaan MARC yang terpahat erat di lubuk hati warga pelaksana hasil dari induksi bertubi-tubi yang dilaksanakan secara berterusan melalui program-program teras pendakian gunung sebelum ini merupakan kunci utama terzahirnya ukhwah yang sangat konkrit di sanubari setiap warga pelaksana, di samping izin dan nikmat yang dicurahkan olehNya dengan memberikan cuaca yang baik serta indeks pencemaran udara, IPU yang sihat. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas saya ucapkan.

  Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Sejujurnya, anda berhak dan layak berbangga dengan kejayaan ini kerana tugas melaksanakan program peringkat kelab dengan amat berjaya sehingga berhasil membuahkan program seolah-olah anjuran peringkat universiti bukanlah suatu tugas yang mudah. Pada hemat saya, kejayaan ini adalah berlandaskan niat utama penganjuran program tersebut iaitu atas asas membangunkan kemahiran insaniah dan peribadi setiap pelajar di samping menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan warga kampus dan sekitarnya. Niat yang ikhlas serta mengelakkan perasaan menjalankan program untuk bermegah-megah pasti berjaya membentuk jatidiri mahasiswa dan modal insan yang lebih gemilang, baik dari segi rohani dan jasmani. Saya juga berharap agar platform yang telah diukir sedikit sebanyak dapat membantu organisasi akan datang menganjurkan program tersebut secara tahunan dengan lebih gemilang.

  Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak bagi menjayakan program ini. Saya percaya tanpa bantuan dan sokongan dari pihak anda, adalah amat sukar untuk mereka menganjurkan program tersebut dengan jayanya. Dengan ini, saya sebagai penasihat program ingin mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf di atas sebarang kesilapan yang saya lakukan secara sengaja mahupun tidak sepanjang saya memantau program ini. Sesungguhnya, bekerjasama dengan keluarga MARC merupakan suatu kenangan manis yang akan segar terpahat dalam sejarah kehidupan saya. Terima kasih kerana sudi menerima saya sebagai salah seorang ahli keluarga MARC yang amat saya sayangi seperti keluarga saya sendiri, bak kata pepatah”cubit peha kiri, peha kanan terasa sakitnya”.

  Akhir kata, saya doakan semoga semua warga keluarga MARC sentiasa dalam naungan dan rahmat Allah, diberi kejayaan dalam hidup serta diberi kebahagiaan yang hakiki dan abadi di dunia dan akhirat.. Amin Ya Robbal Alamin.

Wassalam


Mohd Izuddin bin Md Ithnan
Penasihat,
Merbau Adventure and Recreation Club, MARC
Kolej Tun Hussein Onn,
Universiti Teknologi Malaysia

22 February 2011

Secalit Tinta dari Pengarah Program Run For Your Heart 2010

Assalamualaikum W.B.T.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T yang memberikan limpah kurniaNya dalam menjayakan program ‘Run for Your Heart’ ini. Pelbagai dugaan yang dihadapi sepanjang perjalanan program ini menggugat kekuatan saya dan rakan-rakan saya dalam meneruskan program ini, tetapi atas kekuatan mental dan fizikal diberikan oleh-Nya, kami tetap tabah.

Program ini berjaya mencapai objektif yang dikehendaki untuk menyemai kepentingan kesihatan jantung dikalangan warga Universtiti Teknologi Malaysia dan warga luar kampus. Melalui program ini, masyarakat akan lebih sedar kehadiran Hari Jantung Sedunia yang sering kali tidak mendapat tarikan daripada masyarakat. Dengan adanya program sebegini, diharap lebih banyak pihak tampil dalam menjayakan misi kesedaran kesihatan jantung dalam masyarakat.

Setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada Timbalan Naib Canselor (HEMA), Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Datuk Dr. Tajuddin bin Haji Ninggal, kerana memberi keyakinan yang penuh sepanjang program berkonsepkan kesihatan ini berlangsung.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada Universiti Teknologi Malaysia selaku tuan rumah, para penaja iaitu Kumpulan Perubatan Penawar, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Institut Jantung Negara (IJN), Redbull Corporation dan Ribena. Begitu juga kepada pihak bantuan sokongan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Keselamatan UTM. Jasa anda amat dihargai.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Pengetua Kolej Tun Hussien Onn (KTHO), Dr. Norhazilan dan barisan MAFAN, terutamanya En. Azri Hohad dan En Izzudin bin Ithnan serta Jawatankuasa Kolej Mahasiswa KTHO. Tanpa tunjuk ajar dari mereka, kami mungkin tidak berjaya mencapai kejayaan seperti ini.

Akhir sekali, tahniah diucapkan kepada barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) ‘Run for Your Heart’ di atas tenaga kerja dan buah fikiran serta masa yang diluangkan sepanjang program ini dirancang. Diharap program ini akan menjadi salah satu kenangan indah kalian sepanjang bersama Merbau Adventure and Recreational Club (MARC) yang tercinta ini. Saya selaku pengarah program, memohom ampun dan maaf sekiranya tersilap kata dan terkasar bahasa sepanjang menjalankan tugas saya.

Sekian, kesihatan jantung untuk semua.

Terima Kasih,

SHAMSUDDIN BIN CHIK ZI
Pengarah,
Run for Your Heart.

16 February 2011

Plat-plat baru di CUSGBB Full Circle 2011

Oleh: Juwei Itu حزوان


Sempena program Chamah-Ulu Sepat-Gerah-Bieh-Bilah (CUSGBB Full Circle) 2011 yang lalu (28/1-7/2/2011), MARC telah menggantung plat-plat baru di 'checkpoint' yang penting sepanjang perjalanan. Ini adalah bertujuan menyedarkan para pendaki MARC dan juga pendaki-pendaki lain agar sentiasa menjaga kebersihan di kem yang dilihat semakin menurun kualiti kebersihan. Sangat menyedihkan apabila kebanyakan kem di sepanjang trip dicemari dengan sampah-sarap yang sudah tentu dibuang oleh pendaki yang berhenti rehat di kawasan ini. Mengikut pemantauan peribadi, sampah paling banyak dilihat adalah di Kem Sungai Lepir dan juga puncak Gunung Chamah. Diharapkan situasi ini tidak berterusan dan para pendaki dapat menjaga kebersihan hutan kita.


Program ini disertai oleh 19 orang mahasiswa dan 3 orang pegawai pengiring daripada Kolej Tun Hussien Onn (KTHO), UTM yang juga ahli MARC dan diketuai oleh 2 orang penunjuk arah (guide). Program ini berjaya ditamatkan dengan lancar walaupun terdapat beberapa peserta yang cedera ringan di kaki dan masa perjalanan ditambah satu hari dari sasaran awal.


Penggantungan plat-plat ini telah memberi tanda nama baru pada kem disepanjang laluan CUSGBB Full Circle yang dilihat tanda nama sedia ada kebanyakannya sudah dimakan usia dan juga rosak akibat perbuatan vandalisme. Di samping itu, MARC juga secara tidak langsung melancarkan kempen cintai alam sekitar dengan bertemakan 'SAVE EARTH WE HAVE NOWHERE ELSE TO GO' yang tercatit di setiap plat yang digantung. Diharapkan Plat-plat ini akan kekal seperti yang telah digantung dan terkecuali daripada perbuatan vendalisme.

MARC juga mencari individu, persatuan, institusi atau sesiapa sahaja yang berminat untuk menaja penggantungan plat-plat seperti ini di masa akan datang. Sebarang pertanyaan boleh diajukan di Facebook MARC.

Nota: Sebanyak 26 plat baru telah digantung di CUSGBB FULL CIRCLE 2011

Contoh Gambar plat:
Kepada mana-mana pendaki ingin berkongsi gambar mereka bersama plat ini, bolehlah letak pautan diruangan komen.

Update:

Labels

Abseiling (1) Archery (1) Basic Camping (8) BBQ Nite (4) farewell nyte (3) Hiking (47) Jkm (4) JKM Day (2) kursus (1) Log (24) marc (12) MARC wedding (1) MEGA (3) Merdeka. Hiking (4) Mountain (17) MT Kelab (6) picture (7) Plat (3) post morterm (2) program (11) promo (12) R4YH (4) renungan (2) Review (2) revisit (3) Senamrobik (2) t-shirt (3) tips (7) training (6) transtitiwangsa (1) V3 (1) viking (1) Wall Climbing (2)